Tazkirah : Berpada Dengan Dunia
Dunia yang kini kita berada di dalamnya bersama dengan pelbagai ragam dan peristiwa serta perubahan yang berlaku tidak mengalpakan kita daripada mengingati akhirat. Segala pekerjaan dan amalan seharian yang kita lakukan tidak terlepas daripada dicatat dosa dan pahalanya oleh pencatat setia Raqib dan 'Atid. Dunia ini seumpama jambatan bagi membolehkan kita menuju ke akhirat yang kekal selama.
Islam tidak melarang kita daripada mencari kekayaan dan kemewahan asalkan semuanya itu berlandaskan Islam seperti tidak terlibat dengan pekerjaan dan harta yang haram. Ketika kita belajar ilmu tauhid atau aqidah maka kita ditekankan bahawa segala yang ada dibumi dan langit ini adalah ciptaan Allah dan kita juga ditekankan agar percaya kepada semua rukun iman yang enam termasuk percaya kepada Allah yang mencipta kita dan percaya kepada hari akhirat yang sudah pasti kita akan bertemu dengannya. Ini adalah antaranya supaya timbulnya keyakinan yang tidak berbelah bahagi dalam diri bahawa Allah lah yang memberi kita nyawa dan rezeki bukannya diri kita sendiri. Kita hanya berusaha dan Allah yang menentukan kejayaan atau kegagalannya. Ini bagi menimbulkan kepada kita rasa syukur dan sentiasa berharap kepada Allah serta sentiasa merasakan bahawa apa kita usahakan ini akan sentiasa dicatat oleh Allah samada baik atau buruk, pahala atau dosa.Melalui ilmu tauhid juga kita diajar agar sentiasa berlapang dada dengan perjalanan hidup berdasarkan qadha' dan qadar Allah.
Manakala apabila kita belajar ilmu feqah maka ia menekankan bagaimana cara yang betul dalam mencari rezeki dan bagaimana pula cara yang baik untuk kita membelanjakan harta tersebut agar ia tidak melangar syariat yang telah ditentukan oleh Islam. Ilmu feqah mengajar kita bagaimana dalam mencari harta mestilah dengan kerja yang halal dan harta yang diperolehi juga mestilah daripada sumber yang halal. Ketika mahu membelanjakannya pula maka feqah membahagikannya kepada beberapa perkara iaitu :
Yang pertama: Dharuriyyat atau keperluan yang mustahak seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang secukupnya bagi hidup.
Yang kedua: Hajiyyat iaitu keperluan bagi memudahkan dalam mencapai hajat yang dikehendaki seperti telefon untuk berkomunikasi, kereta bagi memudahkan perjalanan terutama ke tempat kerja dan sebagainya.
Yang ketiga: Tahsiniyyat iaitu perhiasan yang lebih daripada kedua perkara di atas seperti makanan mewah, rumah besar, kereta besar. Jika perkara ini digunakan hasil daripada rezeki yang halal serta tidak melupakan kita kepada kepentingan dan kebajikan orang lain seperti jiran maka dari segi feqah ia diharuskan tetapi sebaliknya jika ia lebih berbentuk kepada pembaziran dan jiga pengabaian kepada maslahat orang lain maka ia diharamkan.Ingatlah pesanan nabi iaitu jika seseorang menasak sup maka hendaklah dilebihkan kuahnya bagi membolehkan ia turut dirasai oleh jiran sebelah rumahnya. Seseorang berdosa jika membiarkan jirannya kelaparan sedangkan dia tidur kekenyangan.Sebab itulah antara hikmat wajibnya zakat adalah bagi meratakan pengaliran harta agar tidak berlegar pada tangan sikaya.
Begitu juga nabi melarang membazir air walau pun berwudhu' di sebatang sungai yang banyak airnya apatah lagi di tempat lain. Nabi sendiri berwudhu dengan secupak air iaitu sekira-kira gayung yang kecil.
Melalui ilmu tasawwuf pula dalam menyempurnakan kehidupan kita maka tidak dapat tidak kita mesti merasakan bahawa kesederhaan mesti ada dalam kehidupan kita di dunia. Oleh itu adanya Zuhud kepada dunia agar diri kita tidak teralpa dengan kemewahan yang ada dan orang lain tidak merasa marah dengan kehidupan yang kita lalui. Keadaan rumah yang kecil, pakaian yang tidak mewah dan sebagainya sentiasa menjadi contoh kepada perkara tersebut. Ada yang mampu melakukannya, ada pula yang tidak dapat melakukannya dan ada pula yang serba salah dalam melaksanakannya.
Mengenai masalah ini ialah kita janganlah terikat dengan zahir contoh yang diberi sahaja melalui kitab-kitab tetapi kita juga wajib menyoroti kepada perkara yang tersirat daripada contoh tersebut iaitu seperti tinggal dalam rumah yang kecil agar sentiasa ingat kepada akhirat dan tidak hanyut dengan nikmat dunia. Melalui ilmu tasawwuf kita banyak ditekankan dengan hati agar sentiasa dekat dengan Allah. Tidak salah mempunyai rumah besar jika ia merupakan keperluan bukannya pembaziran malah hati pemiliknya dapat dijaga daripada terus hanyut dengan kemewahan dunia sehingga lupa pada akhirat. Memiliki rumah yang besar bersesuaian dengan jumlah keluarga yang ramai atau pun rumah tersebut sentiasa dikunjungi ramai bagi menuntut ilmu atau sebagainya yang bertepatan dengan syarak adalah tidak bercanggah dengan Islam.
Begitu juga dengan zuhud pada pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya janganlah pula menjadi fitnah dalam keluarga kita sehingga mereka merasakan bahawa Islam ini susah sedangkan Islam tidak melarang umatnya daripada kaya dengan syarat bertepatan dengan Islam. Jangan dikatakan bahawa mereka yang memiliki harta yang banyak dengan rumah dan kereta yang besar merupakan bukan seorang zuhud kerana ramai juga dikalangan mereka yang sentiasa menggunakan kekayaan yang ada untuk membantu Islam dan dalam rumah mereka sendiri disediakan suatu bilik bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Zuhud pada diri kita mesti difahami oleh ahli keluarga agar mereka tidak menuduh Islam pada sesuatu yang bukan-bukan. Rasulullah s.a.w ketika mahu menunaikan ibadat malam hari sentiasa meminta izin daripada isteri-isteri baginda terlebih dahulu agar tidak timbul masalah walau pun untuk beribadat.
Tujuan yang lain lagi dalam melahirkan sifat zuhud pada dunia ini adalah bagi memastikan setiap individu yang kaya tidak terlalu kedekut dan tidak pula membazir, yang miskin tidak terlalu tamak sehingga melakukan sesuatu diluar kemampuannya. Apa yang dikehendaki oleh Islam adalah pengaliran harta dunia kepada seluruh umat manusia sehingga mereka mampu menjaga hati daripada terikat dengan dunia. Kekayaan yang diperolehi diyakini milik Allah dan digunakan dengan secermat yang mungkin kerana Allah. Abdul Rahman bin Auf, Suhaib ar-Rumi antara contoh koprat di zaman nabi sentiasa bersungguh dalam berniaga dan keuntungan yang diperolehi bukan melupakan mereka kepada dunia tetapi sebaliknya digunakan sepenuhnya untuk perjuangan Islam. Inilah yang kita kehendaki iaitu kita sentiasa bersungguh dalam mencari rezeki tetapi tidak pula kepada Allah di mana rezeki yang diperolehi banyak disumbangkan untuk Islam.
Oleh itu kita dalam memahami Islam maka ketiga-tiga ilmu iaitu tauhid, feqah dan tasawwuf mesti selari agar kita lebih memahami kehendak Islam yang sebenar dari semua sudut. Gunalah peluang yang ada untuk belajar agama secara lebih mendalam lagi agar kita tidak memandang Islam ini adalah agama yang susah. Islam begitu mudah dan bersesuaian dengan fitrah manusia di mana kita dapat merasainya jika kita mempunyai ilmu tentangnya.
<< Home